Oleh: M. TAJUDDIN M. RASDI
Sumber: Utusan Malaysia
SEJARAWAN Barat telah menginterpretasikan idea masjid daripada perspektif `seni bina' dan `bangunan keagamaan' yang terhad. Tulisan mereka disaluti dengan agenda-agenda peribadi serta cita rasa masing-masing yang dibuat dalam rangka budaya agama Kristian-Yahudi.
Mereka juga berpendapat bahawa hadis-hadis tidak boleh dijadikan asas memahami konsep seni bina masjid kerana Rasulullah merupakan seorang individu yang tidak `bertamadun' serta mementingkan pandangan peribadi menentang nilai seni bina yang tinggi.
Isu Definisi Seni Bina
Sikap pertama daripada tiga sikap sejarawan Barat ialah pandangan yang mengatakan, oleh sebab tidak terdapatnya bahan-bahan yang berupa `kesenian tinggi' seperti arca, lukisan dan bangunan hebat-hebat di dunia Arab pada zaman Nabi Muhammad s.a.w maka bolehlah dianggap kesemua orang Arab, termasuk Rasulullah, sebagai uncultured ataupun tidak bertamadun.
Pandangan ini dapat dilihat melalui kata-kata K.A.C. Creswell, salah seorang ahli sejarah seni bina Islam yang terkemuka, di dalam bukunya, A Short Account Of Islamic Architecture.
Pada zaman kelahiran Islam, Jazirah Arab tidak mempunyai apa-apa jenis bangunan yang boleh disifatkan sebagai `seni bina'. Hanya segelintir penduduknya menetap di sesuatu kawasan dan mereka tinggal di dalam bangunan yang boleh disifatkan sebagai pondok-pondok buruk.
Creswell telah membuat definisi sendiri terhadap apa yang dinilai sebagai ciri-ciri ketamadunan sesuatu masyarakat, iaitu melalui kewujudan peninggalan yang diiktirafkan sebagai mempunyai unsur `kesenian'. Masalahnya ialah apa yang dinilaikan sebagai masyarakat bertamadun atau `seni' tidak semestinya boleh diterima umum.
Misalnya, Syed Qutb, di dalam bukunya, Milestone, memberi definisi bahawa ciri terpenting masyarakat yang bertamadun ialah kewujudan nilai-nilai kemanusiaan yang terbaik dan bukannya penghasilan kebendaan atau kedudukan ekonomi. Seperti juga ungkapan `seni', Islam tidak boleh memisahkan nilai-nilai serta kod etika sosial daripada definisi seni semata-mata untuk menghasilkan sesuatu objek yang `cantik'.
Isu Penggunaan Hadis
Sikap kedua pula berkait dengan penggunaan hadis bagi pentakrifan konsep asal masjid. Ada sejarawan mengetepikan sama sekali koleksi hadis berkenaan seni bina Islam dengan membuat kesimpulan umum bahawa koleksi itu merupakan `cita rasa' Nabi Muhammad s.a.w dan tidak layak untuk diambil kira langsung. Sikap ini dapat dilihat menerusi pandangan John D. Hoag di dalam bukunya, Islamic Architecture.
Di dalam biografi mengenai Muhammad, Ibn Sa'ad telah merakamkan cerita daripada Abdullah Ibn Yazid yang mengunjungi Madinah pada 707 Masihi iaitu semasa kamar-kamar rumah Nabi masih ada. Di sana, Abdullah telah bertemu dan berbual dengan salah seorang cucu lelaki janda Muhammad iaitu Um Salama.
Um Salama telah menceritakan kepada cucunya itu bahawa pada suatu ketika, dia telah membesarkan kamarnya dengan batu bata semasa Nabi Muhammad s.a.w. dalam perjalanan ke Duma pada tahun 626 Masihi.
Sekembalinya Nabi Muhammad dari perjalanannya, baginda menegur Um Salama. Wahai Um Salama! Sesungguhnya, salah satu daripada pekerjaan yang tidak menguntungkan dan menelan harta kaum Muslimin ialah pembinaan.
Pandangan ini nampaknya dipegang kuat oleh para Khulafa al-Rashidun sehinggakan K.A.C. Creswell mencadangkan bahawa Jazirah Arab pada waktu itu tiada apa-apa langsung hasil seni bina dan perkataan `Arab' tidak patut dikaitkan langsung dengan seni bina Islam.
Penggunaan satu hadis ini yang terasing daripada perbincangan luas mengenai apakah sebenarnya jiwa keislaman adalah suatu kaedah biasa yang digunakan untuk mematahkan usaha mengaitkan hadis dengan seni bina Islam.
Cara tafsiran hadis juga terkeluar daripada kaedah yang digunakan oleh ulama Islam. Yang penting bagi Hoag ialah menggambarkan bahawa Nabi Muhammad tidak sukakan kehidupan yang mementingkan kebendaan dan kemegahan yang dapat ditonjolkan melalui seni bina. Dengan itu pandangan baginda dalam hadis tersebut hanyalah perasaan peribadi dan tidak patut dijadikan asas definisi seni bina Islam. Bagi umat Islam, hadis ini cuma menggambarkan betapa berjimat cermatnya Nabi Muhammad dalam perbelanjaan hidup yang melebihi daripada kesederhanaan.
Baginda ialah contoh utama yang mengajar umat Islam bahawa kehidupan di dunia bukanlah kekal dan usaha yang berlebihan seperti dalam pembinaan bangunan untuk tujuan kemegahan merugikan wang ringgit dan masa yang terhad di dunia ini.
Definisi Seni Bina Keagamaan
Masalah ketiga berkaitan dengan pemahaman bahawa setiap masyarakat beragama mestilah mempunyai apa yang didefinisi sebagai `rumah tuhan' atau `rumah ibadat'.
Oleh sebab Masjid Nabi digunakan untuk pelbagai aktiviti maka ia tidak layak menjadi konsep `rumah suci' dan masjid sebenar hanya muncul apabila Nabi wafat dan rumahnya menjadi tumpuan ramai atas sebab-sebab sentimen kerana kewujudan makam baginda di sana. Pandangan ini dirakamkan oleh Creswell.
Tiada ada apa-apa perubahan yang berlaku ke atas rumah Nabi Muhammad ketika kewafatannya pada 8 Jun 632 Masihi. Dia telah dikebumikan di dalam bilik yang didiaminya semasa hayatnya. Rumahnya belum lagi menjadi masjid dan transformasi ke arah itu memakan masa agak lewat. Rumah Nabi Muhammad itu nampaknya masih digunakan sebagai `rumah' pada zaman Khalifah Abu Bakar yang menggunakan ia seperti apa yang telah diperlakukan oleh Nabi Muhammad.
Ia masih sebuah `rumah' sewaktu Khalifah Uthman dibunuh di dalam kamar bersebelahan makam Muhammad. Caetani mencadangkan bahawa perubahan status rumah Nabi Muhammad kepada status `masjid' mula berlaku apabila Khalifah Ali mengubah ibu kota negara Islam ke Kufa, dan Madinah menjadi sebagai wilayah jajahan.
Pada waktu inilah rumah Nabi Muhammad dianggap sebagai masjid kerana ingatan penduduknya kepada Nabi Muhammad meningkatkan status rumah itu kepada bangunan suci yang mana ia menjadi tempat separuh daripada isi al-Quran diterima sebagai rumahnya selama 10 tahun dan akhir sekali sebagai makamnya.
Anggapan bahawa sesuatu model `rumah ibadat' atau `rumah tuhan' juga wujud buat masyarakat Islam tidak boleh diterima sekali gus kerana Islam tidak memisahkan antara apa yang sekular dan apa yang keagamaan atau apa yang fizikal dan apa yang spiritual.
Secara ringkasnya, banyak pandangan ini berasaskan suatu anggapan bahawa masjid yang hebat-hebat dalam sejarah setelah wafatnya Nabi Muhammad dan para Khalifah al-Rashidun merupakan contoh terbaik konsep masjid yang sebenar.
Oleh sebab hadis menolak pembinaan yang berunsurkan kemegahan dan perlumbaan bagi membina bangunan yang lebih hebat daripada bangunan rakyat yang ditakluki Islam, para penulis lebih mudah menolak koleksi hadis daripada cuba menggunakannya untuk menyokong pandangan mereka.
Sikap mereka juga didorongi dengan definisi 'seni bina keagamaan' dan takrif `rumah ibadat' serta `rumah tuhan' yang disifatkan sebagai mempunyai kesamaan umum dalam tiap-tiap agama.
Akhir sekali, sikap mereka juga didorongi dengan definisi istilah 'ibadat' yang dianggap sebagai suatu perkataan yang bermaksud ritual keagamaan khusus dan menolak kemungkinan definisi 'ibadat,' juga merangkumi kegiatan-kegiatan atau perbuatan yang mereka anggap sebagai sekular.
No comments:
Post a Comment